Dec 24, 2020 - FASMedia Selangor FC sempat menubual pemain pertahanan tinggi lampai baru Gergasi Merah, Tim Heubach dari Jerman mengenai sambutan Hari Krismas pertama beliau di Asia pada tahun ini. Nikmatilah!
Apa perasaan Tim sambut Krismas di Malaysia tahun ini?
Sudah tentu saya berasa gembira tetapi pada musim perayaan seperti ini, sudah pasti saya akan lebih merindui keluarga berbanding hari-hari lain. Namun, saya berasa sangat gembira kerana kami mempunyai komuniti yang memberi sokongan di Selangor.
Mereka membuatkan saya berasa selesa dan tidak sunyi biarpun untuk tidak dapat bersama keluarga. Jujurnya, segalanya akan lebih sempurna jika keluarga saya ada di sini, tetapi sekarang saya dapat merayakan Krismas bersama Coach Karsten dan Coach Michael.
Itulah perkara yang paling penting, saya berasa gembira di sini. Ini adalah pakej yang baik untuk meraikan Krismas, biarpun saya berada di Asia, jauh dari Jerman.
Berbanding dengan Malaysia, bagaimana Tim menyambut Krismas tahun lalu di Timur Tengah?
Semasa saya bermain di Timur Tengah, kami tidak mempunyai rehat musim sejuk (winter break). Kami masih bermain satu atau dua hari sebelum Krismas. Kadang-kadang, kita terpaksa bermain pada Hari Krismas itu sendiri sehinggakan mustahil untuk meraikan saya meraikannya.
Jujurnya, memang agak sukar untuk meraikan Krismas di sana, tetapi jadi saya masih boleh menerimanya dengan baik.
Apa rancangan Krismas Tim tahun ini?
Sebenarnya, perayaan Krismas setiap tahun adalah hampir sama; saya akan bersama dengan seisi keluarga, rakan-rakan datang berkumpul pada waktu perayaan ini.
Jadi, saya akan duduk bersama Coach Michael, Coach Karsten dan seluruh keluarga mereka. Kami akan makan dan minum bersama, berbual-bual dan menghabiskan hari dengan semangat Krismas - sebuah perasaan istimewa yang tidak dapat anda jelaskan, tetapi ada di sana.
Bagi saya, saya akan berasa seronok untuk duduk bersama, berbual dan berkongsi kegembiraan. Itulah bahagian penting dalam menyambut Hari Krismas.
Apa yang paling Tim rindui ketika menyambut Krismas tahun ini?
Sejujurnya, saya rasa saya akan merindui keluarga saya. Keluarga bukanlah satu bahagian kecil dalam perayaan Krismas, tetapi ia menghubungkan semua perkara bersama.
Sebagai sebuah keluarga, kami juga mempunyai tradisi Krismas untuk pergi ke gereja, sebelum seluruh keluarga berkumpul untuk makan bersama. Kemudian, kami akan bertukar-tukar hadiah. Tradisi yang hampir sama setiap tahun.
Oleh itu, saya selalu menantikan hari Krismas sejak kecil. Pada masa kini, sesudah dewasa, adalah lebih penting untuk meraikannya bersama keluarga, terutamanya ketika tidak semua ahli keluarga kita tidak tinggal di tempat yang sama. Pada hari Krismas, semua orang berkumpul dan bergembira.
Dari segi juadah Krismas, isteri saya telah memasak sejak semalam lagi, jadi bau Krismas sudah ada di apartment saya. Jadi saya tidak terlalu rindukan juadah Krismas (ketawa).
Isteri saya banyak melakukan carian di Google untuk membeli bahan-bahan masakan juadah Krismas. Tetapi, hampir semuanya boleh didapati di kedai runcit yang berdekatan. Tidak sukar untuk membuat hidangan Krismas khas di sini.
Ada yang Tim boleh komen mengenai penampilan di video Krismas Selangor FC?
Sekiranya penyokong Selangor mahu mendengar saya menyanyikan lagu Krismas Jerman yang riang, kita (orang Jerman) tidak mempunyai lagu yang menceriakan (ketawa).
Kami sangat serius, tiada lagu-lagu yang menceriakan. Oleh itu, saya cuba menjadikan video itu sebuah video yang serius, tetapi sukar untuk mencari lagu Krismas Jerman yang ceria. Jadi, saya membuatkan video itu kelihatan serius tetapi dipenuhi ironi. Saya harap peminat Selangor dapat memahaminya (ketawa).
Kata-kata Krismas Tim untuk peminat Red Giants?
Saya harap peminat Selangor dapat menikmati hari Krismas, mungkin lebih menghargainya berbanding daripada hari-hari lain. Raikan ia bersama keluarga disamping kesihatan yang baik.
Itu perkara yang paling penting. Sentiasa bersyukur setiap hari, kerana kita sedar kita mempunyai kehidupan yang baik. Kita perlu menjaga antara satu sama lain. Kekal selamat dan kekal sihat.
Selamat menyambut Hari Krismas dari kami di Selangor FC!